Wednesday, May 31, 2006

 

Berbagai Gambar Demo 28 Mei (ihsan Harakahdaily)


 

Protes bantahan kenaikan harga minyak akan diteruskan

Wed | May 31, 06 | 02:08:38 PM

Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yakin tindakan ganas serta zalim pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) dalam menyuraikan perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak didalangi oleh pimpinan politik tertentu.

Menurut beliau, insiden keganasan polis jelas mencabuli hak rakyat dan memburukkan imej pasukan itu khususnya dalam peristiwa 28 Mei lalu, di dataran KLCC.

Beliau berkata, tindakan ganas itu tidak wajar dilakukan terhadap rakyat sebaliknya mereka perlu diberi hak kebebasan untuk menyatakan pandangan secara aman terutama dalam mana-mana isu yang jelas memberikan implikasi negatif kepada mereka.

"PROTES (GABUNGAN MEMPROTES KENAIKAN HARGA MINYAK) melihat kerajaan sebenarnya telah gagal untuk memastikan tiada kenaikan harga barang asas kesan daripada kenaikan harga minyak pada 28 Februari lalu. Kerajaan juga gagal membendung kenaikan tarif elektrik sepertimana yang dijanjikan sebelum ini," katanya dalam sidang media di pejabat Penyelidikan PAS Pusat, pejabat agung, di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, PROTES menyeru agar kerajaan berlaku adil dalam mengembalikan hak kebebasan bersuara rakyat dan seterusnya bersikap lebih rasional apabila menangani bantahan terbuka yang dilakukan secara aman.

Katanya, PROTES berharap pihak polis tidak sewenang-wenangnya membiarkan institusi mereka dipergunakan hanya untuk kepentingan orang tertentu dengan mengabaikan tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjaga keselamatan awam serta keamanan negara.

"PROTES berazam akan terus bersama rakyat bagi memperjuangkan hak-hak dan suara mereka sehingga kerajaan memberikan keadilan yang sewajarnya," tegasnya. - mks.

 

Kenaikan elektrik: Bebanan baru rakyat bermula esok

Wed | May 31, 06 | 07:06:04 PM

Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 31 Mei (Hrkh) - Esok bermula tarif baru elektrik sebagaimana diumumkan kerajaan baru-baru ini. Bagi PAS kenaikan sehingga 12 peratus cukup membebankan rakyat dan bakal mengundang kepada inflasi.

Naib Presidennya, Dato' Husam Musa berkata, apabila tarif elektrik naik secara tidak langsung semua kos pengeluaran akan meningkat walaupun kerajaan 'mencanangkan' ia tidak membenankan rakyat.

"Semua pengusaha sama ada memproses gula, mee kuning atau seumpamanya akan berdepan dengan kenaikan kos operasi sehingga berlipat kali ganda.

"Contohnya, harga sekilogram gula sekarang telah meningkat kepada RM3.10 di sekitar bandar Kota Bharu dan Wakaf Che Yeh berikutan bekalannya sukar didapati di pasaran," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat berkata, kenaikan tarif elektrik sebanyak 12 peratus bakal membebankan lagi rakyat selepas harga minyak dinaikkan akhir Febuari lalu.

"Perkembangan ini amat menyusahkan rakyat sehingga bagi mereka yang mengadakan kenduri terpaksa meminta bantuan anak-anak untuk membeli gula di pelbagai tempat kerana setiap seorang tidak boleh membeli lebih dua kilogram," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan semula kenaikan tarif elektrik termasuk mengecualikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada membeli petroleum pada harga baru.

Kata beliau juga, kesan inflasi akan merebak kepada ekonomi negara kerana semua kilang memerlukan kuasa elektrik untuk menggerakkan jenteranya.

"Saya tidak bersetuju kononnya kenaikan tarif elektrik tidak boleh dielakkan, sebab ia boleh dilaksanakan dengan cara menguruskan TNB secara lebih cekap," ujarnya.

Lagi pun, menurutnya kerajaan baru-baru ini telah berjanji untuk merombak semua perjanjian dengan pengendali janakuasa persendirian yang dianggap berat sebelah sehingga merugikan TNB.

Tuesday, May 30, 2006

 

Laporan Keganasan Polis ke SUHAKAM

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan Parti-parti Politik akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) tentang keganasan polis dari Balai Dang Wangi ketika menyuraikan himpunan memprotes kenaikan harga minyak Ahad lalu. Aduan akan di kemukakan pada hari esok 31 Mei, JAM 11 PAGI di Pejabat SUHAKAM.

Semua pihak yang dipukul atau mempunyai bukti keganasan polis tersebut digalakkan hadir. Sebaran pertanyaan boleh dikemukakan kepada Sdr Yap Swee Seng, di SUARAM, pada no 0122015272.

Sebelum daripada itu satu sidang akhbar akan diadakan di Pejabat Penyelidikan PAS di 22B Jalan Pahang Barat, Off Jalan Pahang, pada jam 9.30 pg. Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa akan bertemu pihak media atas isu yang sama.

 

Gambar-Gambar Demo 28 Mei










Sila ke halaman berikut:



(Disumbang oleh seorang peserta demo)
Jika anda ada mengambil gambar semasa demo dan ingin berkongsi dengan orang lain, hantar ke email: proteshargaminyak@yahoo.com

 

FRU Ganas!!!...Perhimpunan Kemuncak Protes Harga Minyak

Nukilan Peserta Demo



“Umi balikla,balikla Umi….” Itulah rayuan dari anak saya Asiah Bad Latif (5 tahun) berkali-kali kepada saya setiap kali beberapa oarng FRU menghambat dan menghalau kami keluar dan balik. Hati jadi sakit dengan tindakan FRU yang menghalau dan menolak2 kami dengan kasar dengan menggunakan perisai plastik mereka. FRU terus menolak-nolak kami dengan menjerit-jerit baliklah! Baliklah!. Ketika itu pakaian kami semua sudah basah lencun disiram dengan air dari pancutan truck water cannon FRU. Mereka benar-benar bertindak kasar kali ini. Ramai yang membuat kenyataan yang sama. Polis dan FRU bertindak sangat ganas. Itulah juga ungkapan Asiah ketika berehat sambil melukis di rumah selepas pulang dari demo dan penjara pudu. ”Boo...booo...booo...Polis Jahat...FRU Ganas...Polis Ganas..” Kami tidak mengajarnya pun untuk bercakap begitu...tapi mungkin sebab dia mendengar laungan para peserta demo di siang hari itu dan melihat sendiri bagaimana Pak Zahirnya dibelasah oleh polis berkali-kali di tengah-tengah jalanraya yang sibuk.



Polis dan FRU juga bertindak ganas dengan mengejar para peserta demo tanpa memberikan ruang untuk semua beredar. Mereka bertindak kasar kepada semua yang berhimpun secara aman dan menangkap sesiapa sahaja. Saya yakin tidak ada sesiapa yang bertindak ganas dan cuba melawan ketika ditangkap. Kami semua tidak bersalah,kenapa pula kami mesti melawan??. Kami hanya berkumpul untuk menyatakan rasa marah dan kesal terhadap tindakan pemimpin yang zalim dan lansung tidak mementingkan kehendak dan keperluan rakyat. Itulah sahaja cara yang ada dalam ruang lingkup demokrasi untuk menyatakan hak rakyat kepada rakyat secara umum.



Pada demo kali ini, ramai peserta demo yang tidak lagi gentar dengan pancutan air dari truck water cannon. Anak-anak Sdr Zahir Hassan, saya dan anak-anak juga telah bertekad untuk tidak lari dan terus berdiri tegak sekiranya air dipancutkan keluar dari truck FRU. Syifa’ Zahir mengajar Asiah supaya jangan takut dan tutup muka dengan tudung bila terkena air. Sebelum ini memang telah kita ketahui yang air yang dipancutkan dari truck tersebut ialah air kimia yang memedihkan mata dan menyengat di badan. Tetapi kami tetap bertekad berdiri tegak ketika badan disimbahi air tersebut. Alhamdulillah,ianya hanyalah pancutan air biasa saja, jadi Asiah langsung tidak menangis dan terus berdiri tegak bersama-sama kami.



Selesai pancutan air tersebut,mulalah kelihatan beberapa orang yang sudah siap ’dijaga’ oleh polis-polis SB yang tidak berpakaian seragam, itulah taktik mereka. Mungkin mereka-mereka ini telah ’aim’ dan siap sedia berdiri di sebelah mereka-mereka yang ditangkap. Tiba masanya sahaja terus dipegang tangan untuk ditangkap, Main cekup sahaja untuk cukupkan kuota. Ketika itulah kelihatan Sdr Zulkifli Nordin, Ronnie Liu, Hj Azahari Kadir, Sdr Syakir dan lain-lain telah ditangkap.



Ketika itu juga ,mungkin kerana kami tidak berganjak dari tempat kami berdiri maka mulalah datang sekumpulan FRU menghalau dan menolak-nolak kami untuk keluar dari kawasan tersebut. Kami tidak melawan Cuma meminta supaya FRU tidak menolak kami dan mengahalau kami seumpama binatang. Ketika saya dan Asiah didokongan saya ditolak-tolak ditepi jalan, Sdr Zahir juga turut ditolak-tolak. Ketika itulah Sdr Zahir terus berlari meluru ke jalanraya (Jalan Ampang berdepan K-Avenue) apabila melihat anak-anak perempuannya ditolak dengan kasar oleh FRU dengan perisai plastik mereka. Anak-anak Sdr Zahir ditolak dan dihalau ke atas jalanraya,Jalan Ampang yang sibuk dengan lalu lintas, sudah tentu mereka terpaksa menahan dari terus ditolak. Naluri hati ayah sudah tentu mahu menyelamatkan anak-anak perempuanya dari terus dikasari tanpa menghiraukan sifat kebinatangan yang diletakkan ke dalam diri FRU ketika itu.



FRU menolak Sdr Zahir dengan kasarnya dan dia terus terjatuh di atas jalanraya. Kami yang ada berdekatan ketika itu terus meluru ke arah kumpulan FRU yang telah pun menghurung Sdr Zahir seperti binatang buas yang menghurung mangsanya dan cuba menghalang. Jelas kelihatan, Sdr Zahir sedikitpun tidak melawan kerana menyedari perisai Kasut FRU yang dahsyat sekali. Tuan Syed Ibrahim Syed Noh yang berada berdekatan turut datang untuk cuba menyelamatkan Sdr Zahir yang kelihatan terbaring tidak bergerak diatas jalanraya. Anak-anak Sdr Zahir terus menjerit agar Polis dan FRU tidak terus membelasah ayah mereka. Namun Polis dan FRU terus membelasah Sdr Zahir dengan mengheretnya yang sudah pun berdarah-darah di mulut. Polis mengheret tangan Sdr Zahir dari atas jalanraya ke siar kaki jalan. Kelihatan jelas gari besi yang terjuntai utnuk menggari tangannya.



Selesai episod tersebut, FRU dan polis masih lagi tidak puas, mereka terus-menerus menolak kami. Ketika itulah saya dan Asiah didikongan saya turut terjatuh di tepi jalan. Asiah menangis ketakutan. Walaupun takut dan letih, berundur tidak sekali. Sebagaimana para peserta demo yang lain kami terus berada di situ memberikan semangat kepada peserta yang ditangkap. Kami beredar untuk mengiringi Sdr Zahir yang di bawa ke HKL untuk rawatan. Para peserta demo terus mengadakan perhimpunan dengan aman setelah polis-polis dan FRU serta truck-truck mereka beredar dari kawasan KLCC. Inilah bukti jelas bahawa perhimpunan yang aman hanya menjadi kasar, ganas dan tidak bertamadun dengan tindakan polis dan FRU sendiri sahaja.



Setiba kami di HKL kami terserempak dengan Ustaz Nashauddin yang mengiringi seorang peserta demo yang telah dibelasah oleh FRU. Kepalanya luka, dan darah merah membasahi muka dan bajunya yang berwarna gelap jelas lencun dengan darah merah. Kejam sekali pihak berkuasa. Selesai urusan di HKL kami bergerak pula ke Penjara Pudu untuk menunggu dan memberikan sokongan moral kepada pejuang-pejuang hak rakyat yang ditangkap dan disumbatkan ke dalam Penjara Pudu. Di sana juga ramai yang setia menanti sambil mengadakan protes TURUNKAN HARGA MINYAK dan BEBASKAN TAHANAN secara aman. Semua menunggu sehingga ke semua tahanan dibebaskan pada jam 3. 50 petang. Sdr Ronnie Liu dibebaskan paling awal, kerana katanya polis tidak tahan dengannya yang terus berdemonstrasi di dalam penjara. Itulah semangat pejuang Hak Rakyat. Kami semua tidak dibiarkan kelaparan di sana, kerana ada saja hidangan yang tiba, dari roti, mee goreng, nasi goreng, hinggakan ke bungkusan nasi kenduri, nasi minyak dan lauk ayam. Alhamdulillah...kami tidak dilupakan, perjuangan kami tetap dikenang dan akan diabadikan oleh generasi Asiah dan anak-anak kecil yang lain yang turut serta. Kami tidak pernah tunduk atau mahu tunduk kepada kezaliman pemerintah yang tidak merasai keperitan dan kesengsaraan hidup dan jiwa rakyat.



Nashita Md Noor

Peserta Perhimpunan Kemuncak Protes Harga Minyak

KLCC

28 Mei 2006

Monday, May 29, 2006

 

Gambar demo depan Lokap Pudu dan Mangsa Keganasan Polis



 

Tindakan Ganas Polis Mengecewakan

Himpunan aman memprotes kenaikan harga minyak dan tarif elektrik di depan KLCC semalam berakhir dengan tragedi kecederaan dan penangkapan. Laman KLCC yang dibasahi air pancutan 'water canon' dan percikan darah rakyat menyaksikan keganasan polis yang sudah lama tidak disaksikan di negara ini. Rakyat tidak memahami mengapa polis mesti bertindak sebegitu ke atas mereka yang datang dengan aman. Apakah perhimpunan sebegitu terlalu mengancam keselamatan negara sehingga perlu dihentikan 'at all cost'?

Pihak penganjur telah memaklumkan bahawa ini adalah himpunan PROTES yang terakhir. Ianya bukan perarakan yang kita tahu amat ditakuti oleh pihak keselamatan. Ia juga disertai oleh wanita dan kanak-kanak yang datang dengan semangat ceria. Mereka hanya mahu mendengar pesanan pemimpin dan menyebarkan risalah. Namun segala keceriaan dan semangat rakyat direntap dengan tindakan sombong pihak berkuasa yang mempunyai segala kekuatan membuli. Amat memalukan jika pihak polis berbangga dengan kehebatan mereka terhadap rakyat yang lemah.

20 orang termasuk 2 wanita di tangkap dan digari, lalu diangkut ke lokap Jalan Hang Tuah, yang dahulunya dikenali sebagai Penjara Pudu. Mereka termasuk YB Salahudin Ayub (PAS), Ronnie Liu (DAP), Zahir Hasan (KeADILan), Azahari Kadir (JIM), Peguam Zulkifli Nordin dan ramai lagi yang mungkin kita tidak kenali sebelum ini. Hingga kini kita tidak faham tujuan tangkapan ini kerana seperti kes tangkapan terdahulu pada 26 Mac, tiada tuduhan dikenakan ke atas mereka.

PROTES mengecam tindakan luar batasan dan tidak bertamadun pihak keselamatan ini. Tiga orang cedera, seorang parah dengan luka panjang di kepala, sementara seorang lagi retak tulang tangan. Zahir pula cedera di muka dan badan ketika cuba melindungi isteri dan anaknya yang di buli polis. Kerajaan patut menyiasat samada berlaku penyalahgunaan kuasa yang melampau oleh pasukan yang sedang cuba dibaikpulih oleh kerajaan. Kita menuntut supaya didedahkan pihak yang mengarahkan tindakan keras itu dilaksanakan.

PROTES bercadang untuk mengemukakan laporan kepada SUHAKAM sebagai rakaman bantahan kami. PROTES juga mungkin mengambil tindakan menghidupkan lagi protes berterusan isu ini memandangkan sikap kerajaan yang bukan sekadar tidak peduli malah berkeras dengan tuntutan rakyat.

Friday, May 26, 2006

 

Bagaimana Nak Ke KLCC Ahad Ini

Sebagai panduan bagi mereka yang jarang ke KLCC, maklumat berikut mungkin berguna:

1. Tempat himpunan ialah depan Menara Berkembar di depan Jalan Ampang. Bila tiba ke situ pasti nampak orang ramai. Tak boleh miss punya.

2. Jika tidak mahu menggunakan kenderaan sendiri, khidmat teksi sangat berguna. Tambang mengikut jarak perjalanan.

3. Lebih mudah jika menggunakan LRT: Dari Kelana Jaya dan sekitar kawasan yang dilalui PUTRA LRT, sila turun di Stesen KLCC. Dari Terminal Melati di Gombak, PUTRA LRT juga akan terus membawa anda ke Stesen KLCC

4. Yang menaiki STAR LRT, samada dari Ampang, Sri Petaling atau Sentul, sila tukar ke PUTRA LRT di Stesen Masjid Jamek, lalu tuju ke Stesen KLCC.

5. Yang menaiki Monorail dari Sentral atau Titiwangsa, turun di Stesen Bukit Nanas, kemudian berjalan kaki ke KLCC melalui Jalan Ampang. Dalam 10 minit dah tiba KLCC

6. Bagi yang memandu kereta, tempat letak kereta banyak di sebelah Bangunan Tabung Haji (free), atau di KLCC sendiri, tapi kena bayar le.

7. Bagi yang memboikot penggunaan petrol pada hari itu, jalan kakipun elok juga, tapi tentukan bawa poster yang berkaitan.

Lain-lain tips:

1. Jika hari panas, air mineral amat membantu. Rasanya kita ada sponsor air mineral, tapi manalah tahu kalau bekalan tak tiba, elok bawa bersama sebotol-dua

2. Kalau ada manilla card extra kat rumah tu, tulislah slogan-slogan yang sesuai untuk membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Karikatur yang menarik pun dialu-alukan, asal jangan yang menghina sesiapa

3. NGOs yang berkemampuan patut membawa sepanduk (banner) yang sesuai bagi menyampaikan hasrat di hati. Kalau ditulis nama organisasi masing-masing pada sepanduk tu lagi cantik.

4. Kita tidak akan mengadakan perarakan, sekadar berhimpun dan mengikuti beberapa aktiviti yang disediakan. Jadi tak payahlah berpakaian sukan atau berkasut sukan, melainkan untuk persediaan jika disuraikan dengan cara tidak beretika.

5. Bawalah ahli keluarga bersama kerana ini himpunan aman. Jika bernasib baik anak-anak kita akan dapat menonton kawad kuda-kuda polis serta acara tabik hormat FRU


Selamat berhimpun dan beroleh kejayaan.

Dr Hatta Ramli
PROTES

 

Protest against fuel, power hike on Sunday

(From MALAYSIAKINI)
Beh Lih Yi
May 26, 06 2:50pm


After a two-month hiatus, the anti-fuel hike protestors are making a comeback on this Sunday with an additional agenda - to protest over the 12 percent jump in the electricity tariff announced two days ago.

“The hike of the electricity tariff is very much related to the petrol hike,” said Dr Hatta Ramli, spokesperson for the organiser ‘Protes’ - a loose alliance to protest the fuel hike comprising opposition parties and NGOs.

“The increase in electricity tariff was attributed to the fuel hike and it has since been the main reason for Tenaga Nasional Berhad to justify the power tariff hike direct or indirectly,” argued Hatta who is also PAS treasurer.

In March, the government had hiked fuel prices between 18.5 percent and 23 percent in the biggest-ever round of fuel price hike. The price of petrol and diesel was raised by 30 sen per litre to RM1.92 and RM1.58 respectively.

The organiser is targeting 2,000 protesters to turn up at Sunday’s protest, scheduled for 10am outside the iconic Petronas Twin Towers. Opposition and NGOs leaders will be giving speeches while a group of youths will perform a sketch.

Among those expected to speak are Hatta, PAS deputy president Nasharuddin Mat Isa, vice-president Mohamad Sabu, his counterpart in PKR, Azmin Ali, DAP and NGOs representatives.

Last protest on fuel hike

Hatta warned the government not to take the message from the people lightly, as witnessed in the just-concluded Sarawak state election. The urban swing of voters towards the opposition has been attributed to the people’s anger over the fuel hike.

“The number of people who turn up do not necessarily reflect the real situation. People are angry, the protests are to remind them of the fuel hike and ultimately the people will make a choice like in the Sarawak election,” he said.

Hatta was responding on a question that the more recent protests in Kuala Lumpur saw smaller crowd. There was also a police crackdown on the protests with water cannons and arrests.

Meanwhile, Hatta noted that the coming Sunday, May 28, is picked because it is the third-month anniversary of the government’s announcement of the fuel hike on February 28.

“This Sunday’s protest will be the peak after the series of protests and it will also be the last. After that, we will take different approach to continue educating the people on the two issues,” he added.

Thursday, May 25, 2006

 

Tarif Elektrik Naik 12% Rakyat Terbeban, Demo Bantahan 28 Mei Semakin Penting

Seperti diduga, kerajaan telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik purata 12% mulai 1 Jun 2006. Ini merupakan satu lagi berita buruk ekoran kenaikan harga minyak yang bermula 3 bulan lalu. Apa yang ditakuti selama ini bahawa kenaikan harga minyak akan memulakan siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan sudah menjadi kenyataan.

Walaupun kerajaan cuba meyakinkan rakyat berpendapatan rendah tidak akan terjejas dengan kenaikan ini kerana penggunaan tenaga elektrik yang rendah, namun 40% rakyat akan ditimpa bala dari kenaikan tarif ini. Kenaikan kos tenaga elektrik dalam industri pula pasti akan meningkatkan kos pengeluaran yang akan dibebankan akhirnya kepada pengguna.

Tuntutan TNB supaya tarif elektrik dinaikkan berpunca daripada kenaikan harga minyak yang digunakan untu menjana elektrik. Kalau dulu Perdana Menteri menganggap sesiapa yang menaikkan harga barang atau perkhidmatan ekoran kenaikan harga minyak sebagai pengkhianat, rakyat kini mula menyaksi kelahiran ramai pengkhianat. Ini memang telah diduga dan kerajaan tlah diberi amaran. Namun kerana sikap tidak prihatin kerajaan menyebabkan kos hidup keseluruhannya akan membebankan rakyat.

Bank Negara juga sehari dua ini membayangkan akan menaikkan kadar faedah bank. Tindakan ini akan menyebabkan khidmat pembayaran balik hutang kerajaan akan meningkat, dan segala hasrat menyelamatkan RM 4.4 bilion hasil pengurangan subsidi minyak akan lebur. Yang paling nyata ialah kadar inflasi akan terus meningkat, lebih tinggi dari kadar April 4.6% yang tertinggi sejak beberap tahun.

Walaupun nasi sudah kelihatan menjadi bubur, rakyat masih boleh bertindak mendesak kerajaan merungkaikan 'vicious cycle' kenaikan harga ini dengan memprotes secara berterusan. Satu himpunan memprotes kenaikan harga minyak dan ditambah kini dengan protes kenaikan tarif elektrik akan diadakan pada 28 Mei ini, hari Ahad jam 10 pagi di depan Menara Berkembar KLCC, Jalan Ampang.

Orang ramai digesa datang awal dengan menyediakan sepanduk dan kain rentang. Sketsa sinis akan dilakonkan oleh anak-anak muda kita manakala pimpinan politik dan NGO akan berucap. PAS akan diwakili Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, manakala Lim Guan Eng dan Azmin Ali dijangka turun mewakili DAP dan KeADILan. Presiden JIM dan wakil ABIM dijangka turut hadir. Buku 'Kenaikan Harga Minyak: Hakikat dan Persoalan' akan disebarkan.

Dr Hatta Ramli
Penyelaras PROTES

Tuesday, May 23, 2006

 

Bila Minyak Dunia Naik: Pengalaman Kanada

Untuk perhatian sahabat2 sekalian, bukalah mata hati dan ketahuilah bagaimana Alberta Government, Canada (one of the state in Canada) dengan begitu telus menguruskan harta dan wang hasil minyak demi kepentingan rakyat. Pemimpin mereka bukan Muslim pun - tetapi mereka memiliki LEBIH INTEGRITI, KEJUJURAN YANG TULEN dan ETIKA POLITIK yang jauh lebih baik. Sekurang-kurangnya, mereka lebih baik daripada pemimpin kerajaan kita. Ini suatu hakikat yang kita mesti tahu, terima dan SEDAR!!!

Nov. 16 2005 (Bloomberg) -- Alberta increased its budget surplus forecast for the second time in three months as surging oil and natural-gas prices pad the Canadian province's coffers. Nov. 16 (Bloomberg) -- Alberta increased its budget surplus forecast for the second time in three months as surging oil and natural-gas prices pad the Canadian province's coffers.

Alberta produces more oil and gas than any Canadian province and its revenue has soared on record income energy royalties. Premier Ralph Klein will pay out some of the surplus through his so-called ``prosperity bonus,'' a C$400 payment that each of Alberta's 3.2 million residents will receive by early January.

Melalui artikel di atas anda bandinglah sendiri bagaimana Kerajaan pimpinan BN dan Kerajaan Alberta menguruskan dana minyak masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara. Sebahagian duit lebihan belanjawan hasil minyak diberikan/disumbangkan semula kepada SEMUA rakyat negeri Alberta !!! Alberta mempunyai populasi 3 juta, Malaysia populasi 25 juta - perbandingan jumlah populasi tidak boleh digunapakai untuk membezakan kecekapan pengurusan kerajaan kerana INI LEBIH KEPADA SOAL NILAI INTEGRITI, KOMITMEN, ETIKA dan KEJUJURAN POLITIK setiap pemimpin kita.

Jika anda semua teliti website kerajaan Alberta (www.alberta.gov.ca) - pentadbiran mereka lebih telus, cekap sehinggakan anda boleh memastikan berapakah kos perjalanan pemimpin kerajaan ke mana-mana tempat khususnya menghadiri sebarang lawatan kerja di luar negeri termasuk harga tiket penerbangan dan hotel, jumlah elaun, tuntutan perbelanjaan, dan sebagainya yang telah digunakan oleh setiap pemimpin Kerajaan Alberta termasuklah Ketua Menteri Alberta (Premier of Alberta). Sebarang lawatan kerja serta minit mesyuarat kerajaan yang telah diluluskan, disebarkan di laman web rasmi kerajaan Alberta dengan cekap dan segera untuk pengetahuan umum.

Dunia internet dan maklumat sudah semakin maju. Buka minda dan terokai sendiri - anda nilailah sendiri!

ardi
b.eng (mfg)
kuala lumpur

Monday, May 22, 2006

 

Protes Harga Minyak 28 Mei di KLCC

Seperti yang dijanjikan, kemuncak bantahan terhadap kenaikan harga minyak akan diadakan dalam bentuk demonstrasi aman rakyat Malaysia. Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) akan menganjurkan demonstrasi tersebut pada Ahad, 28 Mei, 2006 jam 10 pagi bertempat di hadapan KLCC di Jalan Ampang. Tarikh ini dipilih kerana ia adalah genap 3 bulan dari tarikh kenaikan minyak 28 Februari lalu.

Himpunan aman ini akan disertai oleh pemimpin politik dan NGO serta penyokong dan keluarga mereka. Berbagai aktiviti sedang diatur bagi mencapai hasrat mendidik dan menyedarkan rakyat mengenai implikasi kenaikan harga ini terhadap rakyat. Buku "Kenaikan Harga Minyak: Hakikat dan Persoalan" juga akan diedarkan kepada orang ramai.

PROTES mengundang segenap lapisan masyarakat keluar beramai-ramai bagi menyuarakan bantahan kita. PROTES menjamin himpunan ini akan bermula dan berakhir dengan aman dan berharap pihak keselamatan, jika turut hadir, akan turut sama menjamin kesejahteraan rakyat yang hadir.

Maklumat lanjut akan dikeluarkan dalam website ini dan juga dalam saluran berita alternatif yang lain. Sila sebarkan.

Dr. Hatta Ramli
Penyelaras PROTES

 

Isu Harga Minyak Hampir Tumbang BN Sarawak

Pilihanraya Sarawak telah selesai hujung minggu lalu dengan kita menyaksikan prestasi pembangkang yang amat memberangsangkan. DAP dan KeADILan berjaya di 7 kawasan bandar manakala SNAP dan Bebas menang di kawasan pinggir bandar. PAS yang bertanding hanya satu kerusi di kawasan jauh dari bandar berjaya mengurangkan majoriti BN dari 3034 (2001) kepada hanya 895 undi. Dalam hampir semua kawasan, majoriti BN merosot.

Perkembangan ini boleh ditafsir berbagai-bagai mengikut sudut yang dipandang oleh masing-masing penganalisis. Namun isu-isu yang ditonjolkan banyak menentukan sikap pengundi. Pemimpin BN Sarawak banyak menyalahkan kenaikan harga minyak yang dimainkan oleh pembangkang sebagai antara punca kekalahan dan kemerosotan BN. Kain-kain rentang membantah kenaikan harga minyak menghiasi seluruh bandaraya Kuching sehingga menimbulkan kesedaran kepada rakyat.Ini bukanlah perkara yang mengejutkankan kerana kenaikan harga minyak benar-benar menghimpit rakyat, samada golongan kaya atau lebih-lebih lagi golongan miskin.

Kenaikan harga minyak telah diikuti kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Ini sangat dirasakan walaupun kerajaan cuma menggelapkan isu ini dari media massa perdana. Langkah pengundi Sarawak menghantar isyarat bantahan kepada kerajaan ini sangat tepat pada masanya. Bayangkan seandainya pengundi Sarawak memberi kemenangan besar kepada BN nescaya BN akan mendakyahkan bahawa rakyat menerima dan menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Kita masih ingat apabila kerajaan mendakwa rakyat menyokong penggunaan ISA yang zalim itu apabila ia diberi kemenangan besar dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini!

Kita mengucapkan syabas kepada rakyat Sarawak atas peranan besar mereka menyekat keegoan pemerintah. Kerajaan patut menerima isyarat atau 'wake-up call" ini dengan menimbang untuk menurunkan harga minyak. PROTES akan meneruskan bantahan terhadap kenaikan harga minyak sehingga rakyat di Semenanjung dan Sabah turut sedar dan bertindak macam rakyat Sarawak.

Thursday, May 11, 2006

 

Lepas elektrik air pula

Selepas mengumumkan kemungkinan kenaikan tarif elektrik, Menteri yang sama, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menggambarkan bahawa tarif air sediaada juga tidak boleh kekal lama. Komen ini dibuat berikutan lulusnya dua rang undang-undang berkaitan bekalan air di Dewan Rakyat semalam.

Semua ini berlaku kurang dari 3 bulan harga bahan bakar dinaikkan 30 sen seliter. Nampaknya 'vicious cycle' kenaikan harga barang ini cepat menjadi kenyataan. Beberapa hari lalu bekalan gula dikatakan berkurangan termasuk di Kedah dan Perlis, sehingga ada peniaga yang menaikkan harganya. Sudah lama kita tidak mendengar barangan penting hilang dari pasaran. Pihak tertentu dalam kerajaan menyalahkan penyeludupan ke negara jiran sebagai punca. Ini jugalah antara alasan yang dikemukakan ketika kerajaan mahu menaikkan harga minyak tempoh hari.

Kita nantikan apakah langkah selanjut yang akan dilakukan oleh kerajaan. Sementara itu rakyat mesti terus prihatin dan memprotes terus kenaikan harga minya.

Hatta Ramli

Friday, May 05, 2006

 

Tarif Baru Elektrik: Ramalan PROTES Tepat

Seperti yang diramal, kita tidak perlu menunggu hingga tahun depan untuk menyaksikan kenaikan tarif elektrik ekoran kenaikan harga minyak 28 Februari lalu. TNB telah sejak awal mengeluh mengenai bebanan kos pengeluaran kuasa elektrik akibat kenaikan harga minyak. Kini, belumpun tiga bulan berlalu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik mengumumkan (bahasa Utusan Malaysia: membayangkan) kadar tarif baru akan bermula bulan depan.

Keng Yaik cuba memujuk rakyat dengan mengandaikan bahawa kenaikan tarif tidak lebih nilai sekotak rokok. Inilah cara kerajaan BN meremehkan kesusahan rakyat, sama seperti perbandingan harga minyak petrol Malaysia yang dikatakan rendah berbanding negara ASEAN lain. Sekali lagi rakyat cuba diperbodohkan. Cuma, Keng Yaik belum menyuruh rakyat secara direct 'mengubah cara hidup'. Dia cuma berkata, "Jika mereka menggunakan kadar yang tinggi, mereka akan bayar lebih tetapi jika sesebuah rumah atau pejabat menggunakan sedikit, mereka akan dikenakan kadar yang kurang".

Kalaulah sesiapa yang berani menaikkan harga ekoran kenaikan minyak dianggap 'pengkhianat' oleh Perdana Menteri, maka nampaknya TNB akan jadi pengkhianat. Inilah yang sangat kita takuti kerana kerana kenaikan tarif elektrik akan memulakan satu siri kenaikan harga barangan lain pula, kerana elektrik amat penting dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan.

Semuanya bermula kerana kenaikan harga minyak. Nampaknya pengkhianat yang menaikkan harga barangan bermula daripada pengkhianat pertama, ia itu kerajaan sendiri.

PROTES mengajak rakyat terus membantah kenaikan harga minyak. Jika negara pengeluar lain seperti Arab Saudi boleh menurunkan harga minyak ketika harga dunia melambung, mengapa kita di Malaysia tidak dapat manafaat yang sama? Kita mesti PROTES SAMPAI TURUN!

Dr. Hatta Ramli

Wednesday, May 03, 2006

 

PROTES UCAP TAHNIAH DAN SABAR

PROTES mengucapkan tahniah atas usaha gigih 4 orang aktivis yang ditahan semalaman di lokap polis Seremban hanya kerana mengedarkan risalah menentang kenaikan harga minyak. Arahan kepada polis untuk menangkap aktivis ini jelas menggambarkan ketakutan kerajaan BN yang tergugat apabila rakyat sedar mengenai kesilapannya menaikkan harga tanpa mengira implikasinya kepada rakyat teramai.

PROTES berharap mereka bersabar menghadapi kerenah kecil ini dan tidak luntur untuk meneruskan usaha mendidik rakyat. PROTES juga yakin pihak berkuasa tidak akan mengenakan sebarang cas ke atas 4 orang ini apabila mereka melaporkan diri ke balai yang sama 19 Mei depan.

DR HATTA

 

Protes harga minyak: Polis bebaskan 4 aktivis PKR Muda

(Malaysiakini)
Mohd NoorMay 2, 06 6:40pm


Empat aktivis Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditahan di hadapan Wisma Umno Seremban kerana mengadakan sidang media membantah kenaikan harga minyak semalam, dibebaskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban jam 1.30 tengahari tadi.

Empat aktivis berkenaan ialah Ketua Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shahrin; Ketua Pemuda PKR Negeri Sembilan Roslan Roes; Setiausaha Pemuda PKR negeri, Azizi Abdul dan Penolong Setiausaha Pemuda negeri, Amer Hariss. Bagaimanapun, kata Badrul, mereka dikehendaki melaporkan diri sekali lagi di IPD tersebut pada 19 Mei ini untuk menentukan sama ada dibebaskan atau didakwa di bawah Seksyen 152 Kanun Kesiksaan atau Sekyen 27 Akta Polis.

Badrul berkata, beliau menawarkan rundingan kepada Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hasanuddin Hassan dalam insiden semalam, tetapi ditolak. Katanya, beliau meminta diberikan masa selama lima minit untuk mengadakan sidang media tetapi tidak dilayan, sebaliknya ditarik oleh beberapa anggota polis yang mengiringi Hasanuddin. “Mujur saya tidak cedera walaupun baju terkoyak sebelum dibawa ke IPD Seremban dengan trak polis,” katanya.

Badrul mendakwa, polis melengahkan urusan mengambil keterangan dan hanya berbuat demikian pagi tadi, sedangkan mereka boleh melakukannya semalam.

Protes harga minyak

Badrul percaya tindakan Hasanuddin itu kerana berdendam padanya kerana mendakwa Ketua Polis Daerah Seremban itu mengikut telunjuk Mohamad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan), ketika mengadakan protes kenaikan harga minyak baru-baru ini. Menurutnya, beliau berbuat demikian kerana mempercayai Hasanuddin bertindak mengikut telunjuk Mohamad terutama dalam isu membabitkan kenaikan harga minyak di Negeri Sembilan.

“Saya minta maaf kepada Hasanuddin tetapi dengan syarat Hassanuddin mengakui kesilapan beliau terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akib berkata, beliau telah menasihatkan mereka terbabit supaya membuat laporan polis mengenai penahanan mereka itu. “Saya juga meminta mereka supaya melaporkan kejadian itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk tindakan lanjut,” katanya yang juga seorang peguam ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata, tindakan polis menahan empat ahli PKR itu sebagai tidak sah kerana mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang.

Malaysiakini tidak dapat menghubungi Hasanuddin bagi mendapat penjelasan mengenai penangkapan tersebut.

Tuesday, May 02, 2006

 

PROTES bantah penangkapan aktivis

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) membantah keras tindakan polis menahan 4 orang aktivis Angkatan Muda KeADILan (AMK) ketika mengadakan aktiviti aman menyebarkan risalah membantah kenaikan harga minyak. Tindakan tersebut mencabul hak kebebasan bersuara rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan negara.

Cikgu Badrul Hisham Shahrin, Timbalan Ketua Penerangan AMK, Ketua AMK Negeri Sembilan, Hj Roslan Roes, Setiausaha AMK NS, Azizi Abdul dan Pen SU AMK NS, Amer Aris, ditahan dengan kasar sebelum mereka sempat memulakan pengedaran risalah di Seremban pagi semalam. Mereka dibiarkan berada dalam trak polis sehingga tengahari dalam keadaan panas dan kemudian ditahan semalaman di lokap polis Seremban.

PROTES menuntut mereka dibebaskan segera kerana penahanan berterusan adalah kezaliman yang berat, tidak padan dengan aktiviti sah yang mereka lakukan. Tindakan polis ini juga tidak menggambarkan kemesraan pihak berkuasa ke atas rakyat yang melaksanakan aktiviti aman.

Dr Hatta Ramli
Penyelaras PROTES

 

Empat aktivis AMK dihadapkan di mahkamah pagi ini

Tue May 02, 06 10:25:49 AM Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Hrkh) - Empat aktivis Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (AMK) yang ditahan di hadapan Wisma Umno semalam dibawa ke mahkamah di Seremban 2 untuk permohonan reman pada jam 9.00 pagi tadi.

Sehingga berita ini ditulis, sumber dari Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan memberitahu, empat aktivis terbabit Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shahrin; Ketua AMK Negeri Sembilan, Haji Roslan Roes; Setiausaha AMK Negeri Sembilan, Azizi Abdul dan Penolong Setiausaha AMK Negeri Sembilan, Amer Hariss masih menunggu proses reman ke atas mereka.

Keempat-empat aktivis AMK ditahan di hadapan Wisma Umno sebelum memulakan satu sidang media perhimpunan dan pengedaran risalah kenaikan harga minyak sempena sambutan hari pekerja 1 Mei dekat sini.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?