Monday, May 22, 2006

 

Isu Harga Minyak Hampir Tumbang BN Sarawak

Pilihanraya Sarawak telah selesai hujung minggu lalu dengan kita menyaksikan prestasi pembangkang yang amat memberangsangkan. DAP dan KeADILan berjaya di 7 kawasan bandar manakala SNAP dan Bebas menang di kawasan pinggir bandar. PAS yang bertanding hanya satu kerusi di kawasan jauh dari bandar berjaya mengurangkan majoriti BN dari 3034 (2001) kepada hanya 895 undi. Dalam hampir semua kawasan, majoriti BN merosot.

Perkembangan ini boleh ditafsir berbagai-bagai mengikut sudut yang dipandang oleh masing-masing penganalisis. Namun isu-isu yang ditonjolkan banyak menentukan sikap pengundi. Pemimpin BN Sarawak banyak menyalahkan kenaikan harga minyak yang dimainkan oleh pembangkang sebagai antara punca kekalahan dan kemerosotan BN. Kain-kain rentang membantah kenaikan harga minyak menghiasi seluruh bandaraya Kuching sehingga menimbulkan kesedaran kepada rakyat.Ini bukanlah perkara yang mengejutkankan kerana kenaikan harga minyak benar-benar menghimpit rakyat, samada golongan kaya atau lebih-lebih lagi golongan miskin.

Kenaikan harga minyak telah diikuti kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Ini sangat dirasakan walaupun kerajaan cuma menggelapkan isu ini dari media massa perdana. Langkah pengundi Sarawak menghantar isyarat bantahan kepada kerajaan ini sangat tepat pada masanya. Bayangkan seandainya pengundi Sarawak memberi kemenangan besar kepada BN nescaya BN akan mendakyahkan bahawa rakyat menerima dan menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Kita masih ingat apabila kerajaan mendakwa rakyat menyokong penggunaan ISA yang zalim itu apabila ia diberi kemenangan besar dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini!

Kita mengucapkan syabas kepada rakyat Sarawak atas peranan besar mereka menyekat keegoan pemerintah. Kerajaan patut menerima isyarat atau 'wake-up call" ini dengan menimbang untuk menurunkan harga minyak. PROTES akan meneruskan bantahan terhadap kenaikan harga minyak sehingga rakyat di Semenanjung dan Sabah turut sedar dan bertindak macam rakyat Sarawak.

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?