Thursday, May 25, 2006

 

Tarif Elektrik Naik 12% Rakyat Terbeban, Demo Bantahan 28 Mei Semakin Penting

Seperti diduga, kerajaan telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik purata 12% mulai 1 Jun 2006. Ini merupakan satu lagi berita buruk ekoran kenaikan harga minyak yang bermula 3 bulan lalu. Apa yang ditakuti selama ini bahawa kenaikan harga minyak akan memulakan siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan sudah menjadi kenyataan.

Walaupun kerajaan cuba meyakinkan rakyat berpendapatan rendah tidak akan terjejas dengan kenaikan ini kerana penggunaan tenaga elektrik yang rendah, namun 40% rakyat akan ditimpa bala dari kenaikan tarif ini. Kenaikan kos tenaga elektrik dalam industri pula pasti akan meningkatkan kos pengeluaran yang akan dibebankan akhirnya kepada pengguna.

Tuntutan TNB supaya tarif elektrik dinaikkan berpunca daripada kenaikan harga minyak yang digunakan untu menjana elektrik. Kalau dulu Perdana Menteri menganggap sesiapa yang menaikkan harga barang atau perkhidmatan ekoran kenaikan harga minyak sebagai pengkhianat, rakyat kini mula menyaksi kelahiran ramai pengkhianat. Ini memang telah diduga dan kerajaan tlah diberi amaran. Namun kerana sikap tidak prihatin kerajaan menyebabkan kos hidup keseluruhannya akan membebankan rakyat.

Bank Negara juga sehari dua ini membayangkan akan menaikkan kadar faedah bank. Tindakan ini akan menyebabkan khidmat pembayaran balik hutang kerajaan akan meningkat, dan segala hasrat menyelamatkan RM 4.4 bilion hasil pengurangan subsidi minyak akan lebur. Yang paling nyata ialah kadar inflasi akan terus meningkat, lebih tinggi dari kadar April 4.6% yang tertinggi sejak beberap tahun.

Walaupun nasi sudah kelihatan menjadi bubur, rakyat masih boleh bertindak mendesak kerajaan merungkaikan 'vicious cycle' kenaikan harga ini dengan memprotes secara berterusan. Satu himpunan memprotes kenaikan harga minyak dan ditambah kini dengan protes kenaikan tarif elektrik akan diadakan pada 28 Mei ini, hari Ahad jam 10 pagi di depan Menara Berkembar KLCC, Jalan Ampang.

Orang ramai digesa datang awal dengan menyediakan sepanduk dan kain rentang. Sketsa sinis akan dilakonkan oleh anak-anak muda kita manakala pimpinan politik dan NGO akan berucap. PAS akan diwakili Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, manakala Lim Guan Eng dan Azmin Ali dijangka turun mewakili DAP dan KeADILan. Presiden JIM dan wakil ABIM dijangka turut hadir. Buku 'Kenaikan Harga Minyak: Hakikat dan Persoalan' akan disebarkan.

Dr Hatta Ramli
Penyelaras PROTES

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?